Friday 2 September 2016

ADAKAH SAYA HIPOKRIT JIKA SAYA MENUTUP AURAT TETAPI MASIH MELAKUKAN MAKSIAT?




Antara bentuk jerat syaitan ialah menjadikan manusia berputus asa daripada rahmat Allah SWT.


Antara jalannya ialah menjadikan manusia berputus asa di atas dosa-dosa yang dia lakukan sehingga merasakan tiada lagi pintu taubat untuknya.



Antara jalannya ialah menjadikan manusia meninggakan ketaatan kepada Allah SWT lantaran rasa diri tidak layak menunaikannya kerana masih ada maksiat yang dilakukan.



Tidak ada manusia yang tidak berhak melakukan kebaikan. Di zaman Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam ada sahabat yang penzina, ada yang kaki arak, akan tetapi adakah mereka menjauhkan diri daripada melakukan kebaikan yang lain?



Iman manusia sentiasa naik dan turun. Oleh kerana itu setiap hari kita meminta kepada Allah:



اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ 
Tunjukkan kami jalan yang lurus. [Al-Fatihah : 6]



Kenapakah kita meminta jalan yang lurus sedangkan kita sudah Muslim ketika membaca ayat ini? 



Ini kerana yang kita minta ialah agar kita istiqamah di jalan yang lurus.



عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ :
Anas radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kerap membaca doa:



" يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ " ، 
Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati aku di atas agama Mu.



فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا ؟ قَالَ : " نَعَمْ ، إِنَّ الْقُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ "
Lalu aku bertanya: Ya Rasulullah, kami beriman kepada engkau dan apa yang engkau bawa. Adakah engkau ada rasa takut/khuatir ke atas kami? Baginda menjawab: Ya. Sesungguhnya hati-hati ini berada di antara dua jari daripada jari jemari Allah. dia akan akan membolak-balikkan ia sebagaimana yang Dia kehendaki [Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Qadr, hadis no: 2066, hadis hasan]



Isteri Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, iaitu Ummu Salamah radiallahu 'anha menyatakan ini adalah doa yang kerap dibaca oleh baginda.



Oleh kerana itu kita berdoa dengan doa berikut:



رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ 
Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami selepas Engkau beri petunjuk kepada kami. Kurniakanlah kepada kami rahmat Mu. Sesungguhnya Engkau maha pemberi kurnia. [Ali 'Imran : 8]



Lazimilah doa ini agar hati kita kuat untuk kekal di atas jalan kebenaran.



Jika kita sudah tergelincir, kembalilah kepada Allah. Bukankah Allah sentiasa menerima taubat hambaNya?



حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : " قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى : يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي ،
Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Allah berkata: Wahai anak Adam. Selagi mana engkau berdoa dan mengharapan kepada Ku, nescaya Aku ampuni apa sahaja yang engkau lakukan, Aku tidak kisah. 



يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي ،
Wahai anak Adam. Jika dosa mu melangit tinggi, kemudian engkau memohon keampunan Ku, Aku akan ampuni diri mu, Aku tidak kisah. 



يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً " . قَالَ أَبُو عِيسَى : هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ ، لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ .
Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada ku dengan dosa seluas bumi, dan engkau bertemu dengan Aku dalam keadaan engkau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan datang kepada mu dengan seluas keampunan.
[Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Daawat, hadis no: 3491, hasan gharib].



Kenapakah kita memilih menambah dosa di atas dosa yang lain?



Jika kita melakukan satu kebaikan dan masih melakukan satu kejahatan, kenapakah kita memilih membuang kebaikan itu atas alasan kita masih lagi melakukan kejahatan?



Bilakah kita akan menjadi manusia yang lebih baik jika kita menambah kejahatan di atas kejahatan?



Boleh jadi satu kebaikan ini akan menjadi bekalan kita untuk memotivasi diri menjadi lebih baik, akan tetapi kita memilih untuk membuangnya sehingga kita melakukan kejahatan yang lain. Adakah kita sedang melarikan diri daripada hidayah Allah.



Kita yang melihat seorang yang baik melakukan kejahatan, wajarkah kita berkata: Buat apa kau buat baik ni sedangkan benda jahat kau masih buat! Allah tak terima amal baik engkau! Buat apa solat kalau masih buat maksiat? Sia-sia sahaja tutup aurat tetapi masih buat maksiat!



Mereka yang berkata seperti di atas, renungilah hadis di bawah:



قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ كَانَ رَجُلاَنِ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ مُتَآخِيَيْنِ فَكَانَ أَحَدُهُمَا يُذْنِبُ وَالآخَرُ مُجْتَهِدٌ فِي الْعِبَادَةِ 
Abu Hurairah radiallahu 'anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Ada dua orang lelaki bersaudara daripada Bani Israel. Salah seorang sering melakukan dosa dan seorang lagi bersungguh-sungguh beribadah. 



فَكَانَ لاَ يَزَالُ الْمُجْتَهِدُ يَرَى الآخَرَ عَلَى الذَّنْبِ فَيَقُولُ أَقْصِرْ . 
Lelaki yang bersungguh-sungguh dalam ibadah ini setiap kali dia melihat saudaranya melakukan dosa dia akan berkata: Tinggalkanlah dosa ini. 



فَوَجَدَهُ يَوْمًا عَلَى ذَنْبٍ فَقَالَ لَهُ أَقْصِرْ فَقَالَ خَلِّنِي وَرَبِّي أَبُعِثْتَ عَلَىَّ رَقِيبًا 
Pada suatu hari, dia mendapati saudaranya sedang melakukan dosa lalu dia berkata: Tinggalkanlah dosa ini. Lalu saudaranya menjawab: Biarkan aku dan Tuhan ku. Adakah engkau diutuskan kepada ku untuk menjadi pemerhati ke atas ku? 



فَقَالَ وَاللَّهِ لاَ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكَ أَوْ لاَ يُدْخِلُكَ اللَّهُ الْجَنَّةَ .
Saudaranya menjawab: Demi Allah, Allah tidak akan mengampuni engkau, Dia tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga. 



فَقُبِضَ أَرْوَاحُهُمَا فَاجْتَمَعَا عِنْدَ رَبِّ الْعَالَمِينَ فَقَالَ لِهَذَا الْمُجْتَهِدِ أَكُنْتَ بِي عَالِمًا أَوْ كُنْتَ عَلَى مَا فِي يَدِي قَادِرًا وَقَالَ لِلْمُذْنِبِ 
Lalu nyawa mereka berdua diambil dan mereka berkumpul di hadapan Tuhan sekalian alam. Allah berkata kepada lelaki yang kuat beribadah: Adakah engkau tahu apa yang Aku tahu? Adakah engkau berkuasa atas apa yang ada pada Tangan ku? Allah berkata kepada yang sering berdosa: 



اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِي وَقَالَ لِلآخَرِ اذْهَبُوا بِهِ إِلَى النَّارِ. .
Pergilah, masuklah ke dalam syurga dengan rahmat Ku. Allah berkata kepada yang lain pula: Pergilah bersamanya (iaitu lelaki yang rajin beribadah itu) ke neraka. 



قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَكَلَّمَ بِكَلِمَةٍ أَوْبَقَتْ دُنْيَاهُ وَآخِرَتَهُ
Abu Hurairah berkata: Demi tuhan yang diri ku di TanganNya, lelaki itu (iaitu yang kuat beribadah itu) berkata dengan satu perkataan yang memusnahkan dunia dan akhiratnya.
[Sunan Abi Daud, Kitab al-Adab, hadis no: 4883]



Hipokritkah kita jika masih melakukan maksiat dalam masa yang sama masih melakukan ketaatan kepada Allah?



Hipokrit itu ialah manusia yang melakukan ketaatan dan menzahirkan kesalehan kepada orang ramai akan tetapi sebenarnya dia berpura-pura.



Adakah kita sedang berpura-pura? Atau sebenarnya kita sedang berusaha membaiki diri kita yang penuh kelemahan?



Semoga kita semua terus menerus mencari hidayah Allah.

 Mohd Masri Mohd Ramli -

No comments:

Post a Comment