Sunday 28 August 2016

KESENGSARAAN ORANG LAIN, KEBAHAGIAAN BAGI KITA




Sesetengah orang, hatinya gembira dan bahagia apabila melihat orang lain derita. Berlaku pada semua orang. Pernahkah anda tahu dan berperasaan begitu!. Aku derita engkau bahagia. Kata-kata yang selalu diucapkan oleh jejaka yang putus cinta terhadap kekasihnya yang bahagia bersama teman baru.

Lagi satu yang biasa berlaku pada kita tanpa disedari, bila kita memandu dan melihat pasangan sedang menolak motorsikal kerana kehabisan minyak atau tayar pancit. Kadang-kadang secara otomatik kita tersenyum. Bukan ada niat apa pun untuk ketawa pada mereka. 

Itu perkara yang biasa dan selalu terjadi pada kita. Bagi pasangan yang menolak motorsikal berbatu-batu jauhnya. Allah SWT sahaja yang tahu betapa penatnya sampai lembik lutut. Bukan boleh dibaiki disitu. Nak ditinggalkan isteri atau temanita kat simpang, takut pula jadi kes lain. Kalau setakat minyak habis boleh diminta tolong orang lain belikan. Tapi jika tayar pancit bukan boleh ditukar disitu. Terpaksa tolak sampai kat kedai motor juga. 

Sabda Nabi s.a.w:

"Tidak boleh iri hati melainkan kepada dua orang iaitu, orang yang dianugerahkan ilmu pengetahuan tentang al Quran oleh Allah lalu mengamalkan sepanjang siang dan malam dan orang yang diberikan harta oleh Allah lalu menafkahkannya sepanjang siang dan malam" [Riwayat Bukhari & Muslim]

Diantara perkara yang kita sedar atau tidak bila kesengsaraan orang lain yang membuatkan kita bahagia.

1. Anugerah Cemerlang/Kenaikan Pangkat.

Bila kita mendapat anugerah cemerlang atau kenaikan pangkat dari majikan. Betapa sukanya kita. Mereka yang kuat bekerja tetapi tidak dicalonkan oleh majikan mesti rasa sedih dan hampa. Pada hal kita bukan pun lebih baik prestasi dari mereka yang tidak dicalonkan. 

Nasihat penulis: Bila dapat anugerah atau kenaikan jangan terlebih cakap pula. Beri kata perangsang pada mereka yang tidak dicalonkan. "Mungkin tahun hadapan giliran kamu pula".

2. Perkahwinan.

Selalunya terjadi pada kaum wanita. Bila dipinangkan dan ditetapkan tarikh perkahwinan, habis semua kawan-kawan nak diberitahu. Bila ada kawan-kawan yang belum dipinangkan atau selalu putus tunangan pasti akan merasa sedih. Jangan perli atau terlebih cakap tentang diri anda yang cepat jodoh. 

Nasihat penulis: Pujuk kawan dan gembirakan hati mereka dengan membuat jamuan. Beri kata peransang dan naikkan semula semangat kawan yang belum sampai jodoh "Jodoh kamu pun akan sampai juga nanti, sabar ya".

3.Terima Tawaran IPTA.

Ibubapa yang anaknya diterima masuk ke menara gading sangat bersyukur dan hilang semua penat lelah membesarkan anaknya. Pada ibubapa yang anaknya gagal masuk kemana-mana pengajian tinggi dan tidak mendapat sebarang tawaran langsung, cukup menyedihkan dan menghampakan.

Nasihat penulis: Jangan ditanya pada mereka pada hal anda tahu anak mereka tidak menerima sebarang tawaran. Jika terjumpa juga, nasihatkan mereka dengan kata-kata, "Yang keluar dari IPTA pun belum tentu menjaminkan mendapatkan pekerjaan, rezeki anak-anak kita tidak tahu lagi".

4. Putus cinta/Putus Tunang.

Perkara ini adalah lumrah pada semua orang. Ada yang boleh menerima dengan hati terbuka. Hati gembira melihat kawan yang selalu ke hulu kehilir dengan teman lelaki atau wanita tiba-tiba frust menunging. Makan tak lalu dan hilang arah. Jangan diperli, mesti gaduh punya.

Nasihat penulis: Nasihatkan kawan yang putus cinta. "Mungkin jodoh kamu dengan orang lain" atau "Kumbang bukan seekor, banyak kumbang-kumbang yang baik untuk kamu".

5. Ditimpa Kemalangan.

Apabila jiran atau sedara mara yang ditimpa kemalangan, terus anda melawat mereka. Kadang-kadang ada yang busuk hati. Kerana yang terlibat kemalangan menggunakan kereta mewah dan jarang menegur anda. 

Nasihat penulis: Bila melawat mereka yang sedang sengsara. Katakan begini " Allah sayangkan kamu!, harta boleh dicari ganti.".

6.Mendapat harta pesaka.

Bila mendapat harta pesaka selepas kematian arwah. Ada adik beradik yang tidak menerima sebarang harta mesti rasa sedih. Sakit hati mereka ini boleh memutuskan silahtulrahim. Banyak yang kita dengar sampai berparang dan bermusuhan disebabkan harta. Tapi jika anda anak angkat memang tak layak langsung dapat pembahagian harta pusaka usah risau kerana banyak harta pusaka banyak soal jawab dengan Allah SWT disana nanti.Lambat masuk syurga.

Nasihat penulis: Jika anda mendapat wasiat dan bahagian anda yang banyak. Jangan terlebih cakap. Katakan dengan rendah hati pada mereka " Tak sangka arwah wasiatkan harta ini.InsyaAllah kalau kamu susah dan memerlukan pertolongan, akan aku tolong dengan harta arwah nanti".

7. Keputusan UPSR/PMR/SPM.

Bila keluar sahaja keputusannya dan anak kita mendapat "strait A". Selalunya kita sibuk dan terus menalipon habis semua kawan-kawan. Lepas tu sibuk nak tahu keputusan anak orang lain pula. 

Nasihat penulis: Tidak perlu tahu keputusan anak-anak orang lain. Mungkin ibubapa anaknya yang keputusan tidak baik sedang bersedih. Jika berjumpa kawan-kawan, katakan begini " Masih ada masa lagi untuk anak-anak berusaha mendapat kejayaan pada peperiksaan akan datang".

8. Jatuh susah.

Selalunya bila kita jatuh susah dalam perniagaan, ramai kawan-kawan yang akan menjauhi kita. Ini perkara lumrah dalam hidup. Semasa kaya dan senang, telefon selalu berderingx ajak minum teh dan bermacam-macam yang kita tak larat nak layan. Bila jatuh susah telefon sunyi senyap.

Nasihat penulis: Hari ini mungkin kawan kita jatuh susah. Esok silap-silap kita pula jatuh susah. Hidup ini macam roda. Sekejap diatas, sekejap dibawah. Jika terjumpa kawan yang jatuh susah. Tegur dengan baik kerana perasaan mereka sensitif. Beri kata perangsang "Kamu boleh bangun semula, jangan putus asa, banyak orang yang terkenal hari ini, pernah jatuh dan bangun kembali".

9. Mendapat tender/Peluang Bisnes.

Persaingan diantara kontraktor-kontraktor mendapat tender memang sengit.Yang selalu ada kroni akan dapat. Mungkin anda ada kroni. Nasib anda baik dan mendapat tender dengan perbezaan harga yang kurang sedikit dari kontraktor lain. Selalunya kontraktor akan berjumpa dan minum bersama yang berada dikawasan yang sama. 

Nasihat penulis: Jangan menjauhi kontraktor lain yang selalu gagal dapat tender. Beri sedikit peluang kepada mereka seperti membekalkan barang-barang projek kepada anda dan pasti mereka mendekati anda. Apabila mereka mendapat tender yang lebih besar, mungkin mereka teringat anda sebagai sub-kontraktor pula. Katakan pada yang gagal mendapat tender " Tender ni bukan aku boleh buat semua, yang mana boleh aku subkan kerja, sama-sama kita cari makan".

10. Penceraian suami isteri.

Bila berlaku penceraian, ada pihak yang bahagia, Jika si isteri berkahwin dengan temannya dan hidup susah. Bekas suami akan merasa puas hati. Memang dia akan sakit hati jika bekas isterinya senang dan mewah bersama suaminya baru. Begitu juga isteri yang diceraikan akan merasa gembira jika suami yang dahulu kaya berkahwin lain dan kemudian jatuh susah dalam perniagaan dengan isteri baru. 

Nasihat penulis: Sekiranya terjadi begini, doakan supaya mereka bahagia membina rumahtangga baru. Jangan dendamkan kerana sudah ditakdirkan jodoh bukan untuk anda. Selalu penulis menasihat pada kawan-kawan yang sudah bercerai supaya jangan mendendamkan bekas isteri mereka. Katakan kepada mereka "Ini bukan jodoh kamu, carilah penganti yang lebih baik". 

Setakat sepuluh sahaja penulis terfikir setakat ini. Banyak lagi contoh seperti menjadi isteri kedua. Madu kita sengsara. Begitu juga seperti calon yang kalah pilihanraya.Yang menang bergembira.

Hati yang baik tak akan gembira melihat orang lain sengsara. Malah ditolongkan sedaya upaya orang yang malang. Doakan kepada mereka yang malang supaya ditetapkan hati pada Allah SWT. Jika hari ini anda berdoa kepada kawan-kawan yang ditimpa musibah. Suatu hari nanti segala malaikat dan segala makhluk Allah SWT akan mendoakan kebahagian kepada anda pula. Bukan rugi pun mendoakan untuk kebahagian orang lain malah Allah SWT akan merahmati kamu. Baik hati ibarat emas dalam jiwa.

Hati yang baik bukanlah sekadar kurniaan dari Allah SWT yang diberikan kepada orang-orang tertentu saja, namun hati yang baik juga boleh diperolehi dengan latihan dan pendidikan. Salah satu cara untuk mendapatkan hati yang baik adalah senantiasa berkomunikasi hati dengan Allah SWT. Allah SWT adalah Dzat Yang Maha Baik, maka siapapun yang selalu berkomunikasi kepadaNya akan mendapatkan cahaya kebaikan. 




Jazakallah Khairan.

No comments:

Post a Comment